Bali '08
In the last couple of days, i've been editing some articles and i came across this particular one that is so worth the forwarding. The context? Malaysia's 50th birthday.
Kawan aku bilang, kalau mahu bicara soal merdeka, kenapa tidak dibuat dalam bahasa ibunda?
Aku balas, aku kata, aku tak mampu nak lahirkan ekspresi diri dalam Bahasa Malaysia. “Sindrom “I sound stupid in Malay kah,” ujarnya berjenaka.
Aku balas, aku kata, ini soal ingin sampaikan maksud. Dalam konteks ini, aku kata, bahasa itu sekadar mekanisma. Bagi aku, bahasa itu jiwa bangsa, jawabnya. Walau berjalan di Kota London, New York, Paris atau Perth sekalipun, baik kita Melayu, India atau Cina, kita semua mesti toleh dan respon kalau orang bercakap Bahasa Malaysia.
Membuat aku lantas berfikir, jika bahasa jiwa bangsa, maka sudah tentu Bahasa Malaysia jiwa bukan bagi bangsa Melayu, tetapi bangsa Malaysia. Namun, tanpa menerjah apa jua sekalipun soal politik dan politikus, apakah maknanya Bangsa Malaysia itu?
Kita terlalu taksub soal asal usul etnik kita.
Kita terlalu pakukan diri kita dengan satu antara tiga:
Melayu, India atau Cina.
Ini semua akibat peninggalan penjajah, kita kata. Penjajah yang tidak mahu kita bersatu menentang mereka, lantas diasingkan kita.
Biar satu campur satu campur satu tetap menjadi tiga;
tidak sekali satu campur satu campur satu menjadi satu.
Kita disogok dengan syak wasangka. Kita diajar bahawa
yang kaya itu Cina,
yang malas itu Melayu,
yang miskin itu India.
Kita ucapkan semua itu bagaikan ianya mentera, akhirnya walaupun tidak benar, jadinya kita percaya.
Sudah lima puluh tahun, hampir, jasad negara kita ini dikatakan merdeka. Tapi jiwa kita bagaimana? Di mana makna merdeka itu jika kita masih menangguk pada definisi diri kita yang diberikan oleh penjajah, yang berkiblatkan personal agenda mereka yang sudah berkubur sekian lama? Kalau kita benar benar merdeka, tidakkah ia bermakna kita sudah mampu tinggalkan itu semua?
Ya, aku tahu. Aku ini, memang pandai cakap saja. Balik balik, bahasa penjajah juga yang aku guna. Tapi jangan lupa. Bagi aku, bahasa cuma mekanisma.
Bila kita bicara soal merdeka, kita bicara soal demokrasi.
The right to choose, itulah dia makna merdeka;
the right to choose, itulah dia hak yang mengorbankan jutaan nyawa.
Dasarnya,
demokrasi itu menganugerahkan hak menentukan pimpinan dan hala tuju negara ke tangan rakyat jelata.
Tidak seperti dijajah dahulu,
kita dipaksa
dan hanya mampu
mengeluh dan menerima.
Sekarang ini, mereka bilang pada kita, nah, ambillah kertas ini, pangkahlah di mana kau mahu, kami akur akan pilihanmu, begitulah natijahnya.
Tapi,
jika kamu tidak pangkah aku, kata si dia, kampungmu tidak akan ada kemudahan.
Jika kamu tidak pangkah aku, kamu akan sengsara.
Jika kamu tidak pangkah aku, projek ini aku berikan kepada yang memangkah.
Jadi di mana letaknya hak itu, jika kita disogok dengan ketakutan bila ingin membuat pilihan sendiri?
Terkejutkah kamu jika aku kata, kita kini tidak percaya akan ketelusan ideologi yang dikatakan mulia ini; ideologi yang terlalu ramai bermatian mempertahankannya? Pasti tidak. Tapi apa makna merdeka kalau kita tidak bebas menentukan apa yang kita mahu? Apa makna merdeka kalau kita masih ditindas mereka yang mempunyai wang dan kuasa?
Kadang-kadang aku rasa, Malaysia ini seperti anak muda yang dipaksa untuk dewasa, hingga dia terlupa untuk menikmati zaman kanak-kanaknya. Namun itulah pengorbanan ibunda untuk anak-anaknya; agar mereka tetap sejajar dengan rakan-rakan di luar sana.
Aku masih mencari apakah yang boleh kita guna sebagai raksa untuk mengukur sejauh mana kita merdeka. Apakah cukup dengan si kembar dua mencakar langit di tengah kota? Atau berapa supermarket Tesco sudah muncul di pinggir pinggir desa? Aku pasti jawapannya berkait dengan kita: aku, kau dan dia.
Jiwa kita ini, apakah jiwa kita ini jiwa yang merdeka? Apakah aku sebenarnya merdeka, dan jika ya, dari siapa? Aku terlalu muda untuk faham apa itu penjajah, tapi aku sering diingatkan bahawa aku patut bersyukur aku lahir dalam dunia merdeka. Alhamdulillah.
Lima puluh tahun, mungkin bukan tempoh yang singkat dalam usia manusia.
Namun masih lagi anak-anakkan kalau kita bicara soal negara.
Aku rindu kamu, Malaysia.